Sejarah Penubuhan MTQT

Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu adalah salah satu Institusi Pendidikan yang terletak di bawah pentadbiran Yayasan Terengganu. Ianya merupakan Pusat Pengajian Al-Quran yang ditubuhkan bagi memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah dalam konteks melahirkan para hafiz, para qari, para pendakwah dan tenaga professional.

Penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Terengganu bermula pada 15 April 1984 hasil idea daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada masa itu. Di peringkat awal penubuhannya, Maahad Tahfiz beroperasi di bangunan perpustakaan Masjid Abidin, Kuala Terengganu dengan bilangan pelajar seramai 15 orang dan dibimbing oleh 4 orang tenaga pengajar. Yang Berbahagia Ustaz Ismail bin Mohamad al-Hafiz adalah pengetua yang pertama dengan dibantu oleh Yang Berbahagia Ustaz Wan Hasan Yusuf bin Wan Ngah, Ahsin Wijaya dan Ustaz Auza Omar.

1

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu menumpang di Perpustakaan Masjid Abidin, Kuala Terengganu pada tahun 1984 – 1985

Memandangkan minat masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke Maahad Tahfiz al-Quran semakin bertambah dan pengambilan pelajar semakin ramai, maka pada awal tahun 1986 Maahad Tahfiz al-Quran dipindahkan ke sebuah bangunan yang disewa di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu. Bilangan pelajar telah ditambah dari 15 orang kepada seramai 30 orang dengan bilangan tenaga pengajar yang sama.

2

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu beroperasi di bangunan yang disewa di Kampung Pengadang baru, Kuala Terengganu pada tahun 1986 – 1993

Menyedari permintaan untuk kemasukan ke Maahad Tahfiz al-Quran bertambah dari setahun ke setahun, kerajaan membuat keputusan untuk membina sebuah kompleks baru dan kerja-kerja membina Fasa 1 kompleks kekal seperti yang ada sekarang ini telah dimulakan pada 11 Mac 1992 dan siap pada 14 Julai 1993 dengan memakan masa selama 1 tahun 4 bulan. Kompleks yang menelan belanja sebanyak RM6.198 juta di atas tapak seluas 6.991 hektar ini terdiri daripada 2 blok bangunan kuliah, 3 blok asrama, sebuah bangunan perpustakaan dan dewan makan. Maahad Tahfiz al-Quran mula berpindah ke kompleks baru ini pada bulan Ogos 1993.

DSC_3966

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu beroperasi di bangunan baru di Kampung Padang Midin, Marang, Terengganu pada tahun 1993 – kini

Peruntukan untuk membina sebuah surau sebanyak RM400.000.00 telah disediakan pada tahun 2000 dan pada masa ini sedang dalam tindakan pihak Jabatan Kerja Raya untuk urusan pembinaannya. Manakala dalam pembangunan Fasa ke 2 iaitu dalam Rancangan Malaysia ke 8 (2001-2005), projek-projek yang dicadangkan ialah sebuah bangunan pentadbiran, sebuah dewan, 1 blok bilik kuliah pelajar perempuan, 1 blok asrama perempuan, sebuah rumah kediaman pengetua, rumah kediaman guru, rumah kediaman kakitangan dan kemudahan-kemudahan riadah.